Wednesday, 4 December 2013

Konvokesyen Datang Lagi...


       
            Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia kali ke-26 berlangsung selama satu minggu bermula 27 November hingga  3 Disember 2013. Pesta konvokesyen ini diadakan pada setiap tahun di Dewan Muadzam Shah. Pesta konvokesyen bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan segulung ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajiannya di menara gading. Perkarangan Pesta Konvokesyen kali ini mulai sesak dengan kehadiran para pengunjung menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Pesta konvokesyen pada tahun ini sangat meriah dengan adanya artis-artis jemputan serta penceramah dan ditambah lagi dengan pelbagai gerai-gerai jualan bunga, makanan dan pakaian.


            Pada pandangan saya, majlis konvokesyen mesti diadakan pada setiap tahun kerana majlis konvokesyen merupakan salah satu peluang untuk pelajar meraikan kejayaannya bersama-sama keluarga. Apabila majlis konvokesyen diadakan, pelajar yang bergraduan semestinya akan membawa ibu bapa masing-masing untuk menyaksikan kejayaan mereka semasa menerima penganugerahan segulung ijazah. Hal ini secara tidak langsung akan merapatkan hubungan kekeluargaan antara pelajar dengan ibu bapanya. Oleh itu, majlis ini amat wajar dilaksanakan kerana dengan adanya majlis konvokesyen, ibu bapa dapat melihat hasil kejayaan anak-anak mereka yang telah bersusah-payah untuk mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang.

            Majlis konvokesyen wajar diadakan kerana majlis ini dapat menjadi penyuntik semangat kepada adik-adik yang masih bersekolah serta para pelajar yang masih menuntut di Universiti itu sendiri. Apabila
 melihat gelagat kakak-kakak yang berjaya mendapatkaan segulung ijazah , ini akan menjadi satu inspirasi bagi adik-adik yang masih belajar. Majlis konvokesyen yang diadakan juga dapat menjadi salah satu motivasi kepada adik-adik yang masih menuntut supaya menanamkan tekad atau semangat untuk menjadi graduan seperti kakak-kakak yang berjaya mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, majlis konvokesyen perlu diadakan pada setiap tahun bagi menaikkan semangat para pelajar agar mereka lebih gigih berusaha dan bersemangat untuk belajar dan mempunyai cita-cita untuk bergelar graduan yang cemerlang kelak.

             Majlis konvokesyen perlu diadakan setiap tahun bagi meraikan para pelajar setelah beberapa tahun mereka mengharungi kehidupan di Universiti. Majlis konvokesyen merupakan majlis yang sangat berbaloi bagi para pelajar yang bergraduan kerana majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan untuk para graduan bagi mendapatkan penganugerahan ijazah sama ada ijazah sarjana atau sarjana muda . Sehubungan dengan itu, majlis konvokesyen ini sewajarnya perlu diadakan bagi meraikan kejayaan para graduan setelah mereka bersusah-payah untuk mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang selepas beberapa tahun mereka menuntut di Universiti.

            Saya juga mempunyai pendapat bahawa saya tidak bersetuju majlis konvokesyen ini diadakan kerana  pesta konvokesyen menyebabkan berlakunya pembaziran wang dan tenaga. Hal ini demikian kerana, pembaziran wang berlaku kerana pihak Universiti terpaksa menanggung kos yang tinggi. Kos untuk membeli barangan persiapan konvokesyen seperti persiapan pentas, bunga dan penyediaan makanan terpaksa ditanggung oleh pihak universiti. Pembaziran tenaga pula berlaku apabila seseorang pekerja terpaksa mengambil cuti bagi mendapatkan segulung ijazah mereka.


             Tuntasnya, majlis konvokesyen perlu diadakan pada setiap tahun kerana ia dapat memberi impak yang positif terhadap para pelajar khususnya kepada mereka yang bergraduan itu sendiri. Oleh itu, majlis konvokesyen perlu diadakan setiap tahun, namun pihak yang berwajib perlu mengawal kos perbelanjaan pesta konvokesyen agar pembaziran tidak berlaku.



Wednesday, 13 November 2013

Manisnya Cinta Allah!!!

Cintailah Allah s.w.t kerana cinta Allah s.w.t akan sentiasa kekal abadi dan lebih bermanfaat dunia akhirat. Apabila kita sentiasa mengingati Allah s.w.t, kita akan merasai kemanisannya dengan memperolehi ketenangan dalam kehidupan. Setiap insan akan mendapat cinta Allah s.w.t sekiranya mereka patuh dan akur kepada perintah Allah s.w.t. Manusia yang cinta akan Allah s.w.t perlu mengerjakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dengan ini, semangat cinta kepada Allah s.w.t  yang mendalam akan lahir dalam sanubari insan yang bergelar manusia.Kemanisan cinta Allah s.w.t juga lahir daripada kemanisan iman seseorang muslim.

           Kemanisan cinta Allah s.w.t dapat dirasai apabila seseorang insan mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t . Kita akan mendapat nikmat disebalik kebaikan yang telah dilakukan dan diberinya pahala sepuluh kali ganda daripada amalannya. Carilah cinta Allah dan Rasul kerana cinta Allah s.w.t mempunyai nikmat yang tidak dapat dibandingkan dengan cinta manusia dan cinta Allah adalah bersifat azali dan tidak akan hilang ditelan zaman.
                                  
            Jika kita tidak mempunyai tempat bergantung, kita janganlah mudah bersedih kerana kita masih ada tempat untuk bersujud iaitu kepada Allah s.w.t .Janganlah kita mencintai seseorang setinggi langit kerana langit boleh runtuh. Jangan cintai seseorang sedalam lautan kerana lautan boleh surut. Jangan cintai seseorang sebesar dunia kerana dunia boleh hancur.Cukuplah kita mencintai seseorang seujung kaki , walaupun kecil, walau dipotong, ia akan selalu tumbuh.   

           Cintailah Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga kerana cinta Allah s.w.t  adalah segala -
galanya yang tidak dapat ditukar ganti. Dengan adanya cinta kepada Allah s.w.t di dalam hati seseorang manusia, maka seseorang itu tidak akan mudah berputus asa dan menerima segala takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Semakin banyak dugaan atau cabaran yang diterima oleh seseorang insan yang bergelar manusia dan ia menghadapinya dengan penuh kesabaran akan mendapat penghormatan daripada Allah s.w.t di akhirat kelak.

             Oleh itu, kita perlu sentiasa menjadi perindu kepada cinta Allah. Keyakinan kepada cinta Allah s.w.t adalah ibarat air kedamaian yang tidak pernah kering menjadikan seseorang muslim tetap sabar disaat mereka menghadapi kesusahan dan tetap sabar disaat mereka ketakutan. Inilah  dikatakan seseorang insan itu telah mempunysi kemanisan iman dan cinta Allah s.w.t dan Rasul.


           

Tuesday, 1 October 2013

Kesan kenaikan harga minyak dan cara mengatasinya

        Sejak akhir-akhir ini, isu kenaikan harga minyak menjadi topik perbincangan hangat di negara kita. Ekoran itu, kenaikan harga petrol ini menimbulkan beban serta spesifikulasi khususnya terhadap golongan yang berpendapatan rendah. Kenaikan harga minyak yang melambung tinggi menyebabkan berlakunya penurunan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, kenaikan harga minyak boleh menimbulkan pelbagai impak yang negatif terhadap pembangunan negara dan menjejaskan ekonomi negara Malaysia. Oleh itu, pelbagai langkah yang drastik perlu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga minyak yang meruncing ini.

         Antara kesan kenaikan harga minyak di Malaysia ialah berlakunya kenaikan harga barang. Kenaikan harga barang berlaku disebabkan harga minyak yang melambung tinggi merupakan salah satu keperluan utama yang digunakan oleh pengguna. Sehubungan dengan itu, apabila harga minyak semakin tinggi, maka harga makanan juga akan semakin melambung tinggi. Hal ini demikian  kerana, kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna  dengan menaikkan  harga barang akhir yang diangkut. Kenaikan harga barang yang mendadak beleh menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara. Oleh itu, kenaikan harga barang yang tinggi dapat memberi impak yang negatif terhadap kuasa beli masyarakat.

          Selain itu, kesan kenaikan harga minyak ialah menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini demikian kerana, kuasa beli barangan semakin berkurangan dan harga barang keperluan dapur meningkat. Sehubungan dengan itu, masyarakat mudah mengalami kesempitan wang disebabkan harga barangan keperluan semakin melambung naik khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Contohnya, barangan keperluan harian dijangka semakin meningkat berbanding harga sebelumnya. Oleh hal yang demikian, kenaikan harga minyak menimbulkan spesifikulasi terhadap golongan yang berpendapatan rendah kerana hal ini melibatkan soal kenaikan barangan keperluan seharian pengguna. Oleh itu, masyarakat haruslah bijak dalam berbelanja bagi mengurangkan masalah kesempitan wang yang dihadapi dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak menjadi keperluan utama pengguna.

           Seterusnya, kenaikan harga minyak di Malaysia telah menyebabkan negara terpaksa menanggung beban subsidi yang tinggi. Hal ini demikian kerana, subsidi terpaksa ditanggung oleh kerajaan terutamanya untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pemberian subsidi yang tinggi boleh membantutkan ekonomi dan pembangunan negara kerana kerajaaan perlu menyalurkan dana yang banyak bagi menampung kenaikan harga minyak yang melambung naik kepada golongan berpendapatan rendah. Sehubungan dengan itu, kerajaan terpaksa menanggung risiko yang tinggi bagi menampung subsidi minyak yany menjangkau lebih 33 billion. Tegasnya, pemberian subsidi kepada golongan berpendapatan rendah menyebabkan  kerajaan  semakin terbantut dari segi ekonomi dan pembangunan akibat daripada harga minyak yang melambung naik.

              Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani kenaikan harga minyak ialah penguatkuasaan undang-undang. Pegawai yang bertanggungjawab perlu membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab bagi menjalankan tugas rondaan dari segi harga barangan perlulah mengadakan lawatan secara mengejut daripada semasa ke semasa bagi memastikan penjual mematuhi undang-undang dan tidak menaikkan harga barangan secara sesuka hati.mereka. Contohnya, jika terdapat penjual yang menaikkan harga barangan sesuka hati, pihak berkuasa yang menjalankan tugas perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah. Antara hukuman yang perlu dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan adalah seperti mengenakan kompaun, menarik lesen penjualan, denda yang tinggi dan sebagainya supaya penjual tidak mudah menaikkan harga sesuka hati dan patuh terhadap undang-undang yang telah ditetap oleh pihak kerajaan. Jelaslah, dengan adanya tindakan sedemikian, penjual tidak mudah untuk menaikkan barangan sesuka hati dan tidak akan berani mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang.

              Langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah kenaikan  harga minyak ialah pengguna perlu merancang perbelanjaan seharian dengan lebih berhemat. Hal ini demikian kerana, perancangan perbelanjaan harian dapat menjadikan para pengguna lebih bijak semasa berbelanja terutamanya semasa membeli barangan yang diperlukan. Pengguna perlu membeli barangan yang menjadi keperluan harian dan tidak perlu membeli barang-barang yang kurang diperlukan. Kenaikan harga minyak ini menyebabkan pengguna perlu lebih banyak mencari alternatif yang lain dengan membeli barangan yang lebih murah harganya dipasaran. Para pengguna perlu merancang setiap perbelanjaan dengan membeli makanan yang asas atau keperluan sahaja berbanding makanan sampingan yang kurang penting. Hal ini sekaligus dapat menjimatkan wang pengguna khususnya bagi pengguna yangberpendapatan rendah. Oleh itu, perkara ini akan dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat kenaikan harga barang yang dihadapi oleh pengguna.

              Langkah seterusnya ialah mengadakan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna bagi menangani isu kenaikan harga minyak di negara kita. Hal ini demikian kerana, dengan adanya kempen melalui radio, akhbar dan  televisyen dapat memupuk kesedaran terhadap  pengguna  supaya berjimat cermat. Penyampaian mesej melaui media massa ini dapat memberi kesedaran tentang kepentingan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian pengguna . Oleh itu, kempen ini juga dapat memupuk kesedaran yang mendalam terhadap pengguna agar mereka tidak membazir dan berjimat cermat.Dengan ini, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna kelak.

              Kesimpulannya, kenaikan harga minyak menyusahkan banyak pihak terutamanya pengguna. Kenaikan harga minyak yang tidak terkawal menyebabkan berlakunya kekacauan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting bagi menangani masalah ini secara efektif. Semua pihak perlu mengembleng tenaga bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak yang semakin meruncing ini. Pengguna juga perlu bijak dan mengawal perbelanjaan sesuai dengan kata pepatah sediakan payung, sebelum hujan. Sekiranya langkah proaktif tersebut diamalkan sudah tentu masalah kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan pada masa ini dapat ditangani dengan segera.