Wednesday, 4 December 2013

Konvokesyen Datang Lagi...


       
            Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia kali ke-26 berlangsung selama satu minggu bermula 27 November hingga  3 Disember 2013. Pesta konvokesyen ini diadakan pada setiap tahun di Dewan Muadzam Shah. Pesta konvokesyen bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan segulung ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajiannya di menara gading. Perkarangan Pesta Konvokesyen kali ini mulai sesak dengan kehadiran para pengunjung menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Pesta konvokesyen pada tahun ini sangat meriah dengan adanya artis-artis jemputan serta penceramah dan ditambah lagi dengan pelbagai gerai-gerai jualan bunga, makanan dan pakaian.


            Pada pandangan saya, majlis konvokesyen mesti diadakan pada setiap tahun kerana majlis konvokesyen merupakan salah satu peluang untuk pelajar meraikan kejayaannya bersama-sama keluarga. Apabila majlis konvokesyen diadakan, pelajar yang bergraduan semestinya akan membawa ibu bapa masing-masing untuk menyaksikan kejayaan mereka semasa menerima penganugerahan segulung ijazah. Hal ini secara tidak langsung akan merapatkan hubungan kekeluargaan antara pelajar dengan ibu bapanya. Oleh itu, majlis ini amat wajar dilaksanakan kerana dengan adanya majlis konvokesyen, ibu bapa dapat melihat hasil kejayaan anak-anak mereka yang telah bersusah-payah untuk mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang.

            Majlis konvokesyen wajar diadakan kerana majlis ini dapat menjadi penyuntik semangat kepada adik-adik yang masih bersekolah serta para pelajar yang masih menuntut di Universiti itu sendiri. Apabila
 melihat gelagat kakak-kakak yang berjaya mendapatkaan segulung ijazah , ini akan menjadi satu inspirasi bagi adik-adik yang masih belajar. Majlis konvokesyen yang diadakan juga dapat menjadi salah satu motivasi kepada adik-adik yang masih menuntut supaya menanamkan tekad atau semangat untuk menjadi graduan seperti kakak-kakak yang berjaya mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, majlis konvokesyen perlu diadakan pada setiap tahun bagi menaikkan semangat para pelajar agar mereka lebih gigih berusaha dan bersemangat untuk belajar dan mempunyai cita-cita untuk bergelar graduan yang cemerlang kelak.

             Majlis konvokesyen perlu diadakan setiap tahun bagi meraikan para pelajar setelah beberapa tahun mereka mengharungi kehidupan di Universiti. Majlis konvokesyen merupakan majlis yang sangat berbaloi bagi para pelajar yang bergraduan kerana majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan untuk para graduan bagi mendapatkan penganugerahan ijazah sama ada ijazah sarjana atau sarjana muda . Sehubungan dengan itu, majlis konvokesyen ini sewajarnya perlu diadakan bagi meraikan kejayaan para graduan setelah mereka bersusah-payah untuk mendapatkan segulung ijazah yang cemerlang selepas beberapa tahun mereka menuntut di Universiti.

            Saya juga mempunyai pendapat bahawa saya tidak bersetuju majlis konvokesyen ini diadakan kerana  pesta konvokesyen menyebabkan berlakunya pembaziran wang dan tenaga. Hal ini demikian kerana, pembaziran wang berlaku kerana pihak Universiti terpaksa menanggung kos yang tinggi. Kos untuk membeli barangan persiapan konvokesyen seperti persiapan pentas, bunga dan penyediaan makanan terpaksa ditanggung oleh pihak universiti. Pembaziran tenaga pula berlaku apabila seseorang pekerja terpaksa mengambil cuti bagi mendapatkan segulung ijazah mereka.


             Tuntasnya, majlis konvokesyen perlu diadakan pada setiap tahun kerana ia dapat memberi impak yang positif terhadap para pelajar khususnya kepada mereka yang bergraduan itu sendiri. Oleh itu, majlis konvokesyen perlu diadakan setiap tahun, namun pihak yang berwajib perlu mengawal kos perbelanjaan pesta konvokesyen agar pembaziran tidak berlaku.



No comments:

Post a Comment